Mongolia Ganggu Debut Tan Cheng Hoe Dengan Mengikat Malaysia 2-2 Di SNBJ

Malaysia diikat 2-2 oleh Mongolia dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Mongolia adalah pasukan yang berada di ranking ke-189 dunia dan Malaysia pula di ranking ke-178.

Ini merupakan debut Tan Cheng Hoe sebagai pengendali sepenuh masa Harimau Malaya. Tidak lupa, ini adalah kali pertama Malaysia beraksi di Bukit Jalil, rumah Harimau Malaya sejak stadium ini berwajah baru.

Separuh masa pertama

Pada 10 minit pertama, perlawanan agak seimbang dengan Malaysia bergelut untuk menguasai perlawanan. Namun begitu pada minit ke-12, Hazwan Bakri melepaskan percubaan deras yang ditepis penjaga gol lawan. Tindakan susulan oleh Natxo Insa pula agak liar.

Tidak lama kemudian, Safiq Rahim merampas bola di kawasan pertahanan lawan selepas hantaran lemah pemain Mongolia. Safiq lorongkan bola kepada Mahali Jasuli. Namun penyudah Mahali menghampakan.

Safawi Rasid melakukan sepakan percuma yang melencong keluar pada minit ke-17.

Tidak lama selepas itu, Natxo Insa berpeluang sekali lagi untuk membuka akaun gol beliau bersama Harimau Malaya. Davies mengatasi 2 pertahanan lawan dan melorongkan ‘cut back’ kepada Insa. Namun penyudah lemah sekali lagi menjadi isu.

Malaysia kemudian mendapat sepakan penjuru. Tandukan Mahali Jasuli hampir memberikan gol kepada Malaysia, tetapi ditepis penjaga gol lawan.

Gol yang dicari-cari akhirnya menjelma. Pada minit ke-31, Malaysia di hadapan selepas Fadhli Shas menekan Turbat Daginaa dari situasi sepakan penjuru. Dagina melakukan jaringan sendiri.

Namun Mongolia berjaya menyamakan kedudukan selepas kesilapan Fadhli Shas yang melakukan kesilapan pertahanan (defensive error). Enkhbileg Purevdorj meletakkan Mongolia 1-1, 2 minit sebelum rehat.

Seminit selepas itu, Fadhli Shas melakukan kesilapan lagi apabila tidak menyedari ada tekanan dari belakang beliau. Fadhli mengantar bola ke belakang yang hampir dihukum pemain lawan. Mujurlah Haziq berjaya menyapu bola.

Sebelum wisel penamat, Haziq sekali lagi keluar untuk menyapu bola daripada kawasan bahaya.

Separuh masa kedua

Bersambung babak kedua, Tan Cheng Hoe memasukkan Akhyar Rashid dan mengeluarkan Mahali Jasuli. Akhyar berjaya memberikan impak. Beliau mencipta peluang kepada Hazwan Bakri namun gagal disudahkan pemain tersebut.

Selepas terlibat dalam beberapa gerakan penting, Akhyar akhirnya menjaringkan gol senior beliau yang pertama pada minit ke-65. Ini selepas beliau melakukan ‘cut inside’ dan menewaskan penjaga gol di ‘near post’.

Namun begitu, Mongolia menyamakan kedudukan sekali lagi menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti yang sangat cantik oleh Gankhuyag Ser-Od-Yanjiv pada minit ke-70.

Malaysia kemudian agak bergelut untuk mendominasi perlawanan dan intensiti permainan kelihatan kendur.

Pada babak akhir perlawanan, Wan Zack Haikal melakukan sepakan percuma deras yang terkena palang.



Tidak lama kemudian, giliran Mongolia pula menyaksikan sepakan percuma mereka terkena palang selepas melantun di hadapan Haziq Nadzli.

Perlawanan berakhir dengan 2-2. Pastinya jurulatih Mongolia bangga dengan pencapaian anak buah beliau. Dengan keputusan ini, Mongolia melanjutkan hari tanpa kemenangan Malaysia kepada 487 hari sejak kemenangan terakhir pada 20/11/2016.

close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==